Selasa, 30 September 2008

aIDilFiTRi....



ESOK, insya-Allah, tibalah 1 Syawal atau Aidilfitri - hari fitrah (kembali kepada kesucian) setelah sebulan menunaikan ibadat Ramadan, terutama puasa.
Allah swt memerintahkan kita mengakui kebesaran-Nya dengan gema takbir yang memecahkan kesunyian dan menggemparkan syaitan-syaitan yang dilaknati.
Ucapan takbir pada malam Hari Raya merupakan satu ucapan ibadah untuk meninggalkan Ramadan. Kita juga diseru mensyukuri-Nya dengan bertahmid, berzikir, memohon pengampunan, beristighfar dan menunaikan zakat fitrah.
Tegasnya, kita hendaklah melepaskan Ramadan dengan pelbagai amalan kebajikan yang akan menjadi saksi di hadapan Allah kelak.
Dalam hal ini, Sayidina Ali ra berkata: 'Siapakah yang telah pasti diterima puasanya, supaya aku mengucapkan tahniah berbahagia? Siapakah yang bernasib malang, supaya aku dapat menyenangkan hatinya?'
Ibnu Mas'ud pula meriwayatkan: 'Wahai saudara-saudara yang telah diterima Allah puasanya, bergembira dan berbahagialah kamu. Kepada yang ditolak amalan puasanya, semoga Allah akan menutup bencana yang telah menimpamu'.
Dalam keriangan Syawal, usah lupa bahawa ada orang yang memerlukan bantuan dan belas ihsan untuk sama-sama menyambut Aidilfitri.
Mari kita renungi sifat Rasulullah saw yang amat mengasihi anak yatim serta menjaga kehidupan mereka.
Menurut sejarah, ketika keluar rumah untuk menunaikan solat berjemaah Aidilfitri, Rasulullah saw melihat kanak-kanak berpakaian serba indah bersuka ria dan bergembira menyambut kedatangan lebaran.
Namun, di satu sudut bangunan tua, baginda melihat seorang anak kecil yang tidak terurus dengan pakaian koyak, duduk menghadap dinding sambil menangis.
Nabi saw menghampirinya dan bertanya: 'Hai anakku, mengapa kamu menangis sendirian pada hari kita sedang gembira?'
Tanpa menoleh, anak kecil itu menjawab dengan nada sayu: 'Mereka punya pakaian baru, sedangkan aku tidak. Mereka tidak mahu aku menghampiri mereka kerana pakaianku buruk dan compangcamping. Dulu, ketika aku masih punya ayah, aku juga mengenakan pakaian baru, perutku kenyang, duitku banyak,' jelasnya.
'Di mana ayahmu, wahai anak kecil,' tanya Rasulullah.
'Ayahku sudah meninggal. Ibuku sudah bernikah lagi dan nasibku disesiakan sebab harta peninggalan ayahku dihabiskan oleh ayah tiriku,' jawab anak itu.
Nabi saw terdiam sejenak lantas berkata: 'Anakku, seandainya Fatimah jadi kakakmu, Ali bin Talib jadi abangmu, Hassan dan Hussain jadi saudaramu dan aku pula jadi ayahmu, apakah engkau suka?'
'Tentu sekali, ya Rasulullah,' katanya sambil memeluk erat kaki baginda.
Setelah anak itu mula bermain dan tertawa kegirangan, barulah Rasulullah saw meneruskan niatnya untuk menjalankan solat sunat Aidilfitri bersama segenap penduduk Madinah.
Kawan-kawan si anak kecil itu bertanya: 'Hairan sungguh. Dari mana kamu dapat ayah? Siapa ayahmu sekarang?'
Jawab anak kecil itu: 'Disebabkan ayah kandungku sudah meninggal, maka Rasulullah mengangkatku menjadi anaknya. Rasulullah adalah ayahku sekarang.'
Semoga amalan puasa kita diterima Allah. Berpada-pada menyambut ketibaan Syawal dan jangan lupa puasa enam. Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan